Saturday, March 5, 2016

CSR

Corporate Social Responsibilty (CSR)




Salam rakan followers untuk entri kali ini.

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai Program Tanggungjawab Sosial Korporat atau lebih dikenali sebagai Corporate Social Responsibilty (CSR).

Sebelum ini, di dua buah sekolah dimana saya berkhidmat, saya belum terdedah dengan program CSR walaupun program sebegini telah lama wujud.

Apa itu CSR?
CSR itu sendiri merujuk kepada Corporate Social Responsibilty atau Tanggungjawab Sosial Korporat. Ia menjelaskan bahawa dalam pembangunan pesat ekonomi dan ledakan teknologi era ini, syarikat-syarikat korporat yang kukuh memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dalam pelbagai bidang. Satu di antaranya ialah dalam bidang pendidikan.

     CSR di dalam sebuah organisasi mega syarikat korporat hanyalah sebahagian kecil agenda mereka tetapi besar impaknya terhadap masyarakat dan nama baik syarikat itu sendiri. Selain itu saya juga difahamkan ia dapat membantu cukai dikenakan dengan sumbangan yang dihulurkan oleh syarikat melalui program ini. Sesebuah syarikat ingin melihat program CSR mereka menjadi satu praktis terbaik di kalangan syarikat lain. Ia juga ingin diletakkan sebagai model dalam tanggungjawab sosial mereka.

     Bagi mencapai sasaran ini, biasanya pihak yang ditaja dengan program CSR ini menggariskan beberapa sudut fokus utama. Jika di sekolah, kemungkinan  fokus utamanya adalah Kepimpinan, aktiviti kesedaran alam sekitar dan perkhidmatan komuniti.




Apa yang dikongsikan?

Kebiasaannya sesebuah syarikat yang menjalankan projek CSR pada sesebuah pertubuhan atau masyarakat mempunyai agenda yang sama iaitu untuk memberi khdimat masyarakat. Skop mereka mungkin berbeza. Ia boleh menjurus kepada pendidikan literasi atau kemudahan pendidikan, kesihatan, mencintai alam sekitar, biasiswa pendidikan, bekalan teknologi dan pelbagai bentuk lagi.

Penglibatan saya.

Ia bermula dengan budaya kerja saya yang suka dan berani mencuba sesuatu yang baru.  Sementara saya bersama rakan guru menggembleng tenaga bekerjasama dalam pembukaan sekolah amanah di kawasan pentadbiran kerajaan Johor di Iskandar Puteri (dahulunya dikenali Nusajaya). Saya melihat akan fizikal sekolah yang cukup hebat dengan kemudahan-kemudahan yang serba canggih seperti dilengkap lif, dewan besar yang dibekalkan dengan teknologi audio sistem canggih dan pelbagai kemudahan lain. Justeru, segala yang akan dibangunkan untuk pendidikan anak-anak haruslah seiring dengan kemudahan sedia ada yang dibekalkan oleh Khazanah Malaysia Bhd melalui Yayasan Amir.

     Meninjau di kawasan sekitar sekolah yang masih banyak projek pembangunan dijalankan, saya berfikir akan potensi syarikat2 ini bersama membantu kami dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya kewangan sahaja. Saya mempunyai banyak idea dan ia tidak akan terhad kepada keperluan kewangan sahaja dalam membangunkan aktiviti sekolah.

     Prinsip saya berpegang kepada pepatah Master Yoda menerusi filem Star Wars, Do or Do Not. There is No Try! Saya bermula dengan menyediakan kertas kerja. Kertas kerja mestilah mengambil kira situasi menang-menang (Win-Win Situation). Di dalam kertas kerja,
juga haruslah mengambil kira aspek berikut :

1. Skop yang akan diliputi oleh syarikat
2. Rekod pencapaian yang berkaitan
3. Win-win Situation
4. Peluang pemasaran syarikat seperti dapat membuka ruang pameran, jemputan majlis sekolah, ruang atau sudut ruang khusus untuk syarikat dll.
5. Idea-idea aktiviti

     Saya bersyukur kerana Guru Besar sering menyokong dan memberi kebebasan dan kepercayaan dalam menggerakkan projek di sekolah. Setelah beberapa kertas kerja mendapat kelulusan pentadbir, tiba masanya untuk mengemukakan kepada syarikat dalam senarai CSR. Sebelum itu, saya juga ada mempunyai sedikit penyelidikan tentang latar belakang syarikat dan konsep syariakt yang boleh disesuaikan dengan keperluan aktiviti pendidikan di sekolah.

     Sebagai contoh, untuk memohon CSR dari Legoland Malaysia Bhd, saya mahukan CSR yg dapat memberi pendidikan hiburan. Sementara permohonan kepada syarikat pembangunan hartanah Medini Iskandar, saya cuba mengaitkan dengan konsep kempinan dan usahawan muda selain pembangunan literasi anak-anak.

     Saya suka menganalisis menggunakan rajah SWOT untuk mendapatkan peluang tersebut. Memulakan langkah adalah lebih baik dari tiada apa-apa sebarang tindakan. Saya kira lebih 10 kertas kerja yang telah saya hantar. Saya berfikir, jika nak pancing, pancinglah jerung dan paus bukannya keli atau pais.
Antara syarikat atau organisasi yang saya saya kemukakan kertas kerja adalah  :

1. Legoland (M)
2. CIMB
3. Hello Kitty

4. KPJ

5. Setiausaha Kerajaan Johor

6. Perbadanan Perpustakaan Awam Johor

7. Medini Iskandar

8. Sholastic

9. Perpustakaan Negara

10. Al Ikhsan

11. UEM Land Malaysia Bhd
12. Educity Sports Complex
13. Yayasan Warisan Johor

     Dipendekkan cerita, dapatlah beberapa projek yang 'sangkut'. Antaranya sumbangan pembukaan sekolah RM 5000.00 oleh UEM Sunrise anak syarikat UEM Land M Bhd, CIMB Foundation dan Medini Iskandar. Banyak juga cabaran sepanjang memohon projek CSR ni. Bak kata orang, ada yang masuk mulut pun boleh terkeluar balik. Tidak ada rezeki namanya.

Follow Up - Jejaki Semula
Main peranan anda dengan kerap membuat follow up samada melalui panggilan telefon atau email sambil berkongsi perkembangan sekolah dan aktiviti yang dijalankan.
Dalam pada menjejaki semula, saya telah dipanggil beberapa syarikat untuk bertemu empat mata atau lebih dengan bahagian Unit CSR atau Kebajikan masing-masing. Dunia korporat sedikit asing bagi saya tetapi kita mesti tunjukkan keyakinan kita terhadap apa yang kita mahukan dalam pendidikan seperti mana yang dibentangkan di dalam kertas kerja. Beberapa kali saya masuk ke pejabat pihak berkenaan untuk urusan ini. Ramai di antara mereka teruja dengan apa yang dikemukakan di dalam kertas kerja. Tetapi tidak semuanya dapat dipenuhi kerana mungkin berbeza secara total dengan polisi syarikat. 
Umpamanya, Legoland dan Hello Kitty mempunyai polisi yang berbeza dan tiada rezeki di situ. Walaupun projek CSR LEgoland atas permintaan kementerian dan Jabatan Pelajaran Johor menyalakan lampu hijau terhadap proposal dari sekolah saya, tetapi Legoland akhirnya menolak atas alasan polisi yang berbeza. Tetapi saya berasa seronok kerana sekurang-kurangnya mereka mendengar cadangan, idea dan saya beroleh pengalaman di situ. 


Terima Kasih

Dikunjungi oleh barisan CEO dan pegawai atasan syarikat korporat memberikan kegembiraan buat saya dan pihak sekolah kerana apa yang direncanakan pasti dapat dilaksanakan. 

     Sebagai permulaan, UEM Land (M) menyumbangkan RM 5000.00 untuk perpustakaan sekolah dimana pentadbir membuat keputusan agar wang tersebut dikongsi bersama beberapa bilik iaitu Bilik JQaf, PIBG dan Pusat Sumber. Untuk Pusat Sumber khususnya perpustakaan di bawah seliaan saya, TERIMA KASIH kepada pihak yang memberikan kepercayaan kepada kami di pihak sekolah.

     Rezeki datang lagi apabila pihak Medini Iskandar datang untuk menyampaikan berita gembira bahawa di bawah program Medini Mind mereka akan menaja RM7000 setiap tahun terhadap pembangunan perpustakaan dan literasi.




Buktikan!! 

Bagi membuktikan segala yang dirancang di dalam kertas kerja adalah bukan sekadar cantik di kertas sahaja, maka segala program yang dirancang perlu dibuktikan. Matlamat dan objektif program harus sampai ke kumpulan sasaran khususnya anak-anak sekolah. Saya lebih senang untuk memanggil anak-anak berbanding murid-murid bagi mendekati golongan kumpulan sasaran ini. 
Berikut disenaraikan projek / program yang berjaya dilaksanakan di sekolah dengan suntikan CSR daripada syarikat-syarikat ini.

1. De' Garden corner @ perpustakaan sekolah
 CSR - UEM Land (M) Sdn Bhd

2. Majlis Pelancaran Program CSR
    CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd



3. Pelancaran Little Tiny Free Library
   CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd
4. Anugerah Nilam
   CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd


5. Program Galakan Membaca KM1M
   CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd


6. Pelancaran Program Nilam pada 2015

7. Storry Teling Competition
   CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd

8. Bengkel Junior Superhero Pop Up Workshop.
   CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd


9. Konsert Aspresiasi Seni Permata Jauhar
    CSR - Yayasan Warisan Johor





10. Bengkel Kepimpinan Pengawas Pusat Sumber
      CSR - Medini Mind oleh Medini Iskandar (M) Sdn Bhd




 11. Training Wild Dash Safari Zoo Run, Singapore
    CSR - Educity Sport Complex



Kelebihan
Di sini saya kongsikan pelbagai kelebihan yang saya dapat hasil kerjasama CSR dengan syarikat korporat dan pelbagai badan lain.
1. Dana program
2. Sijil dari syarikat korporat (untuk anak-anak yang terlibat dengan aktiviti malah guru sebagai pengendali program)
3. Jaringan luar
4. Fasiliti alternatif seperti tempat bermesyuarat, bengkel di syarikat, bilik ballrom syarikat 
5.  Eksplorasi dunia baru - cikgu dan murid bersedia dgn dunia global dan entrepreneur
6. Berfikir di luar kotak
7. Nilai tambah Portfolio
8.   Peluang murid-murid mengembangkan potensi diri.

Jika tak pecahkan ruyung....
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan hendak mendapat sagunya? Begitulah dengan cabaran yang harus dihadapi sepanjang menjalankan projek ini. Kadang kala kita terdengar ada individu yang tidak sehaluan dan berkata belakang tentang apa yang kita usahakan. Mungkin juga tidak senang dengan apa yang kita cuba berikan kepada pihak sekolah. Tetapi bagi saya, ia tidak perlu difikirkan sangat. Just do it!
Jika anda merasakan usaha anda yang sedikit itu dapat memberikan impak kepada murid dan mengikut garis panduan yang betul sila teruskan denan langkah anda. Mungkin ada sedikit ekstra kerja di situ. Tetapi timbalah pengalaman. Percayalah situasi menang-menang akan terbina dengan sendirinya di mana anda sedang membina portfolio terbaik anda dengan meletakkan rangkaian dan jaringan  bersama komuniti luar, kepercayaan oleh pentadbir dan kebanggaan ibu bapa terhadap apa yang anda usahakan untuk anak-anak mereka.

Dalam pada itu, tidak semua apa yang kita usahakan akan berjaya. Jangan cepat menyerah kalah. Dalam 10 usaha kita mungkin hanya satu sahaja yang berjaya atau mungkin tiada langsung yang berminat. Kaji semula kertas kerja dan kehendak syarikat atau badan yang kita kemukakan permohonan itu. Sebagai contoh, saya pernah mencuba nasib dengan mengemukakan CSR kepada Legoland dan Hello Kitty. Terima kasih atas layanan baik mereka. Pada satu peringkat Jabatan Pelajaran Negeri Johor juga berminat dengan kertas kerja yang saya kemukakan kepada pihak Legoland dan telah bersetuju untuk membenarkan pihak Legoland menaja sekolah saya di bawah program CSR. Harapkan hujan sampai ke petang, rupanya mendung di tengahari. Projek CSR tersebut akhrinya tidak dapat dijalankan kerana pihak pengurusan atasa Legoland melihat prospek berbeza dan mereka mempunyai polisi berlainan. Saya menerima dengan hati terbuka kerana saya menimba ilmu dan pengalaman yang baik berhubung dengan pihak atasan, memperbaiki kertas kerja dan sebagainya.
     
     Begitu juga dengan cerita CSR bersama CIMB Foundation. Salah seorang ibu bapa murid saya ialah Pengurus Cawangan bank berkenaan dan mencadangkan saya untuk memohon CIMB Foundation. Maka, bersegeralah saya mengusahakan kertas kerja tersebut. Seingat saya, kami dari pihak sekolah mengemukakan kertas kerja untuk 3 bidang projek iaitu akademik untuk Galakan Bahasa Inggeris, bidang sukan untuk permainan birdie golf dan bidang kebudayaan untuk penubuhan Kelab Orkestra. Setelah beberapa waktu, kami difahamkan permohonan kami diluluskan. Tetapi kerana kesilapan tidak 'follow up' pengurus bank bertukar individu dan perkara ini terlepas pandang. Maka terlepaslah satu peluang keemasan bagi kami. Saya akan mencuba nasib sekali lagi untuk ini.




Sehingga ini perkongsian coretan saya mengenai topik CSR untuk kali ini. Semoga ilmu ini membuka peluang baru untuk kita melihat potensi diri dan peluang yang ada untuk dimanfaatkan kepada anak-anak dalam dunia pendidikan tanpa mengira latar belakang mereka.

Salam dari saya CKMA.